KBS Wujudkan Taska Team MAS Di KL Sports City – Kemudahan Untuk Atlet, Jurulatih & Warga Sukan

March 28, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil mewujudkan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Institut Sukan Negara (ISN) bagi menyokong kesejahteraan atlet, jurulatih dan warga sukan di KL Sports City.

Pusat penjagaan yang dinamakan sebagai Taska Team MAS itu dilancarkan pada Khamis oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh. Ianya boleh memuatkan seramai 70 kanak-kanak, beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam dan dikendalikan staf terlatih di bawah ISN.

Menurut Hannah, taska tersebut diwujudkan sebagai kemudahan serta memberikan ketenangan buat ibu bapa yang berkomitmen pada kerjaya sukan untuk terus berprestasi tinggi.

“Saya yakin Taska Team MAS ini akan menjadi model rujukan dalam sektor sukan sekaligus memperkukuh ekosistem sokongan kepada insan-insan yang membanggakan negara.” 

“Ini bukti komitmen kami membina modal insan yang seimbang demi masa depan sukan Malaysia yang lebih inklusif.” kata Hannah.

Tambah Hannah lagi, kewujudan taska ini juga selari dengan usaha KBS memperkasakan kontrak atlet termasuk memansuhkan klausa diskriminasi terhadap atlet hamil serta menyediakan cuti tahunan dan kecemasan dan cuti paterniti.

Featured Image: Facebook Hannah Yeoh

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd