Penyerang Naturalisasi Vietnam Yang Patah Kaki Kembali Berlatih

April 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Vietnam menerima berita baik menjelang perlawanan menentang Malaysia bagi aksi kedua peringkat Kumpulan F, pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Berita baik tersebut adalah mengenai penyerang naturalisasinya, Nguyen Xuan Son atau nama sebenarnya, Rafaelson Fernandes kembali menjalani latihan ringan bersama pasukan selepas mengalami kecederaan patah kaki. 

Kecederaan ngeri itu menimpa pemain kelahiran Brazil terbabit ketika turun beraksi berhadapan Thailand di Bangkok pada perlawanan akhir timbal balik Piala ASEAN 2024.

Kehadiran semula pemain berusia 28 tahun dalam sesi latihan pasukan dikongsikan sendiri oleh kelabnya, Thep Xanh Nam Dinh menerusi satu video berdurasi satu minit dan 13 saat di Facebook.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan diberikan samada Xuan Son bakal dipanggil menyertai skuad kebangsaan Vietnam.

Pertembungan Vietnam dan Malaysia bimbingan Peter Cklamovski dijadualkan berlangsung pada 10hb Jun 2025 di Malaysia. 

Sebagai rekod, Xuan Son meraih debutnya bersama skuad kebangsaan Vietnam ketika diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih, Kim Sang-sik semasa perlawanan menentang Myanmar peringkat Kumpulan B dalam Piala ASEAN 2024.

Xuan Son turut menyerikan debut bersama skuad berjulukan Pahlawan Bintang Emas itu dengan mencetak dua gol dan mencipta dua bantuan gol selain beraksi penuh selama 90 minit.

Persembahannya bersama Vietnam sepanjang kempen Piala ASEAN 2024 turut menggerunkan dengan menjaringkan tujuh gol sekaligus membolehkannya merangkul anugerah Penjaring Terbanyak dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd