BAC 2025: Justin Lepasi Peringkat Kelayakan, Bertemu Pemain No.40 Dunia

April 8, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan muda lelaki negara, Justin Hoh berjaya mengesahkan tempat dalam babak undian utama apabila berjaya muncul juara Kumpulan A peringkat kelayakan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025.

Pemain berusia 21 tahun itu bermula dengan melakar kemenangan ke atas pemain Iran yang seusia dengannya, Amirhossein Hasani secara “straight set” menerusi skor 21-6 dan 21-14 dalam masa 29 minit.

Bekas anak didik Misbun Sidek ini berhasil mengesahkan tempat ke pusingan 32 apabila melakar kemenangan kedua peringkat Kumpulan A dengan menumpaskan wakil Filipina, Jewel Angelo Albo juga secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-9.

Hasil daripada dua kemenangan bergaya terbabit, Justin dapat menempatkan dirinya selaku juara Kumpulan A yang membawanya bertemu perseorangan Korea yang menduduki ranking ke-40 dunia, Jeon Hyeok Jin.

Berdasarkan rekod, Justin dan Hyeok Jin pernah bertembung sekali sebelum ini di peringkat kelayakan Masters Kumamoto Jepun 2024.

Ianya berakhir dengan Justin melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-15 dalam masa 38 minit. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd