BAC 2025: Jin Wei Bertemu Pemain No.9 Dunia Di Pusingan 16
Hafiz Omar

Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berhasil memulakan kempen Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 dengan langkah kanan dengan menumpaskan pemain Chinese Taipei, Sung Shuo Yun di pusingan 32.
Pemain berusia 25 tahun berkenaan melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-13 dalam masa 41 minit sekaligus melayakkannya mara ke pusingan 16.
Pada peringkat seterusnya, Jin Wei akan berentap dengan perseorangan wanita Thailand yang menduduki ranking kesembilan dunia, Supanida Katethong, 27 tahun, untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Berdasarkan rekod, Jin Wei dan Supanida sudah pernah bertembung sebanyak lima kali di pentas antarabangsa sejak tahun 2015 dimana dua daripadanya di kejohanan peringkat remaja.
Daripada kesemua lima pertemuan itu, tiga daripadanya, kejohanan peringkat senior, berhasil dimenangi oleh Supanida dan hanya dua sahaja berhasil dimenangi oleh Jin Wei.
Sebagai rekod, kempen Jin Wei di BAC pada tahun lalu berakhir di pusingan 32 selepas tewas di tangan perseorangan handalan India, Pusarla V. Sindhu dengan keputusan 21-18, 14-21 dan 19-21.
Featured Image: Badminton Asia Championship 2025