BAC 2025: Soon Huat-Shevon Bertembung Dechapol-Supissara Buat Kali Ke-6
Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai bakal bertembung dengan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran buat kesekian kalinya.
Pertembungan itu bakal berlangsung pada pusingan 16 di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 dan Ianya bakal menjadi pertemuan keenam melibatkan kedua-dua beregu berkenaan sejak berentap buat julung kalinya di Terbuka Artik 2024 pada Oktober lalu.
Kedua-dua pasangan ini bertembung selepas memulakan kempen BAC 2025 dengan langkah kanan mencatatkan kemenangan di pusingan 32.
Soon Huat-Shevon yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan melakar kemenangan ke atas beregu India, Sathish Kumar Karunakaran dan Aadya Variyath secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-19.
Sementara itu, Dechapol-Supissara pula meraih kemenangan juga secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-7 ke atas gandingan Filipina, Julius Villabrille dan Nicole Albo Aira Mae.
Berdasarkan lima pertemuan yang lalu, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri berhasil meraih dua kemenangan sahaja iaitu di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2025 dan Terbuka Artik 2024.
Manakala tiga kejohanan Masters Kumamoto Jepun 2024, Terbuka Malaysia 2025 dan pertemuan terakhir mereka di Terbuka Swiss 2025 berpihak kepada Dechapol-Supissara.
Featured Image: BAC 2025