AFF Pilih Ketua Jurulatih Vietnam Bimbing ASEAN All-Stars Lawan Man Utd

April 10, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai barisan skuad ASEAN All-Stars yang akan turun berhadapan dengan pasukan tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (PL), Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 28hb Mei kelak terjawab sedikit pada hari ini.

Menerusi satu siaran media yang diedarkan, badan induk bola sepak bagi rantau asia tenggara iaitu Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan memilih Kim Sang-Sik kelahiran Republik Korea sebagai ketua jurulatih atau pengendali ASEAN All-Stars.

Difahamkan, Sang-Sik yang kini menjawat jawatan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Vietnam dipilih atas faktor kepimpinannya yang dibina atas nama integriti, disiplin dan visi lebih-lebih lagi selepas berjaya memimpin skuad berjulukan Pahlawan Bintang Emas menjuarai Piala ASEAN 2024 dengan rekod tanpa kalah.

“Dipilih untuk mengemudi pasukan daripada kalangan barisan pemain terbaik ASEAN untuk beraksi dalam perlawanan berskala besar seumpama ini adalah satu penghormatan buat saya,” kata Sang-Sik.

“Kami bukan sekadar mewakili negara kami, tetapi kami secara bersama membuktikan kepada dunia akan kebangsaan, semangat dan kekuatan seluruh rantau ini,” tambahnya lagi.

Pada Selasa lalu, Manchester United bimbingan Ruben Amorim mengesahkan kepada umum bahawa mereka akan bertandang ke Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi Jelajah 2025 yang dibawakan oleh Snapdragon.

Kehadiran mereka itu merupakan yang pertama selepas 16 tahun – selepas kali terakhir berkunjung ke ibu negara pada tahun 2009.

Sementara itu, senarai pemain-pemain yang akan membarisi ASEAN All-Stars – terdiri daripada pemain-pemain terbaik skuad kebangsaan daripada negara-negara anggota AFF – dijangka akan didedahkan dan diumumkan sekitar penghujung minggu ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd