FIFA Uji Penggunaan Kamera Badan Pada Pengadil Di Piala Dunia Kelab 2025

April 15, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang berlangsung dari 12hb Jun hingga 13hb Julai di Amerika Syarikat bukan sahaja menampilkan rekaan trofi, format dan jumlah penyertaan pasukan yang baharu.  

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh penganjur merangkap badan induk, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), saingan itu juga akan menyertakan penggunaan atau pemakaian kamera badan oleh setiap pengadil perlawanan.

Menerusi penggunaan kamera badan tersebut, para penonton di seluruh dunia akan dapat menyaksikan potongan video secara langsung daripada sudut pandang pengadil di atas padang menerusi DAZN – penyiar eksklusif global bagi Piala Dunia Kelab 2025.   

Untuk makluman, FIFA menjelaskan penggunaan kamera badan itu di kejohanan tersebut merupakan satu uji kaji daripada FIFA untuk mengenalpasti kemungkinan penggunaannya pada masa akan datang selain membangunkan piawaian kualiti dan keselamatan.

Bukan itu sahaja, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Colina, menambah bahawa penggunaan kamera badan itu juga bertujuan untuk latihan dalam kepengadilan.  

Sementara itu, Piala Dunia Kelab FIFA 2025 akan menyaksikan implementasi peraturan baharu yang direka untuk mengurangkan pembaziran masa iaitu penjaga gol tidak boleh memegang bola lebih daripada 8 saat.

Sekiranya berbuat demikian, pengadil akan memberikan sepakan penjuru kepada pasukan lawan.

Dalam kenyataan yang sama, FIFA mengumumkan senarai 117 individu yang terpilih untuk bertugas sebagai pengadil (35 orang), penolong pengadil  (58 orang) dan pegawai video perlawanan (24 orang) daripada 41 negara anggota di Piala Dunia Kelab 2025.

Tiada sebarang nama pengadil, penolong pengadil mahupun pegawai video perlawanan dari Malaysia terpilih.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd