Chen Tang Jie, Toh Ee Wei Kembali Bersatu – BAM
Hafiz Omar

Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei nampaknya kembali bergandingan semula, demikian pengesahan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Penyatuan semula pemain berusia 27 dan 24 tahun masing-masing itu menjelma setelah BAM memaklumkan kedua-duanya akan dipisahkan dalam kejohanan berikutnya, 19 hari yang lalu.
Bahkan, kedua-duanya telah diberikan pasangan baharu untuk beraksi dalam lima kejohanan yang seterusnya iaitu Terbuka Taipei 2025, Terbuka Thailand 2025, Masters Malaysia 2025, Terbuka Singapura 2025 dan Terbuka Indonesia 2025.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, Tang Jie telah digandingkan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei berpasangan dengan Loo Bing Kun.
“Keputusan itu susulan permintaan daripada kedua-dua pemain dan berdasarkan banyak perbualan antara barisan kejurulatihan dan para pemain.” tulis satu kenyataan oleh BAM yang dikongsikan kepada pihak media pada hari ini.
Tambah BAM lagi, Tang Jie dan Ee Wei yang kini berada di ranking keempat dunia akan kembali beraksi semula secara bersama-sama di kejohanan Jelajah Dunia BWF bermula daripada Terbuka Singapura yang akan berlangsung pada 27hb Mei hingga 1hb Jun kelak.
Sebagai rekod, Tang Jie dan Ee Wei bergandingan sejak Disember 2022 dan berhasil merangkul lima gelaran; Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022, Cabaran Antarabangsa Iran 2023, Masters Orleans 2023, Terbuka Taipei 2023 dan Terbuka Korea 2024 selain menjejakkan kaki di ranking ketiga dunia – tertinggi setakat ini.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia