Sukan Borneo 2025 Berlangsung 24-28 September, Sarawak Tuan Rumah
April 16, 2025 Hafizuddin Omar

Temasya Sukan Borneo secara rasminya dihidupkan semula dan Sarawak telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi edisi tahun 2025, demikian laporan daripada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Pengesahan penganjuran semula dan penawaran diri oleh Sarawak untuk menjadi tuan rumah Sukan Borneo 2025 dikongsikan sendiri oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YB Dato Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tambah Abdul Karim lagi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyatakan kesediaan dan sokongan penuh kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah edisi baharu Sukan Borneo.

Abdul Karim turut menjelaskan objektif utama penganjuran temasya ini adalah untuk memupuk semangat kesukanan dan persahabatan dalam kalangan belia Borneo, mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan unggul sekaligus memperkukuh hubungan diplomatik, budaya dan sosial antara wilayah serumpun.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Tertinggi Sukan Borneo, sebuah badan rasmi yang terdiri daripada menteri-menteri serta ketua jabatan sukan dari enam wilayah iaitu Brunei Darussalam, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat untuk menjamin kesinambungan dan keberkesanan pengurusan temasya.

Sementara itu, Kuching, ibu negeri Sarawak, pula dipilih sebagai venue kejohanan kerana lokasinya yang strategik daripada segi logistik, penginapan serta promosi media. Tarikh penganjurannya adalah pada 24hb hingga 28hb September 2025.

Terdahulu, Abdul Karim bersama setiap wakil wilayah telah mengadakan satu mesyuarat berkaitan Sukan Borneo 2025 di pejabatnya.

Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan adalah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Nazmi Awang Mohamad; Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga Provinsi Kalimantan Timur, HM Agus Hari Kesuma; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono dan Konsul Jeneral Negara Brunei Darussalam di Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Gani.

Featured Image: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Komen