Julang Piala Malaysia 24-25, JDT Lengkapkan Gelaran ‘Triple Quadruple’

April 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menempa satu lagi sejarah baharu dengan muncul sebagai kelab pertama meraih gelaran “triple quadruple” selepas berhasil merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2024-2025.

Kejuaraan itu menjadi milik skuad berjulukan Harimau Selatan selepas menumpaskan Sri Pahang FC dengan keputusan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada hari ini.

Sambil disaksikan seramai 55,552 penonton di stadium, JDT mencetak kemenangan berkenaan menerusi jaringan oleh Bergson da Silva dan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman pada minit ke-54 dan ke-74 masing-masing. 

Sementara itu, jaringan tunggal oleh Sri Pahang berjulukan Tok Gajah pula dihasilkan oleh T. Saravanan seawal minit ke-14.

Perlawanan akhir ini turut dihiasi dengan drama layangan kad merah terhadap kedua-dua pasukan sekaligus memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain masing-masing.

Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad terlebih dahulu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali melayangkan kad merah kepada Sergio Aguero pada minit ke-34.

Manakala JDT mengikut skrip yang sama ekoran pertahanan dari Korea, Park Jun-heong mendapat kad kuning kedua dan dilayangkan kad merah pada minit ke-55.

Kemenangan itu sekaligus mengesahkan gelaran “triple quadruple” setelah memenangi kejuaraan Piala FA, Liga Super serta merangkul trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah bagi musim ini.

Gelaran itu merupakan kesinambungan daripada “double quadruple” yang diraih mereka pada musim lalu.

Pada masa yang sama, kejuaraan Piala Malaysia yang dirangkul JDT pada malam ini juga merupakan yang kelima dalam sejarah kelabnya setelah menjuarainya pada edisi 2017, 2019, 2022 dan 2023.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd