Harap Bekas Pemain Malaysia Memimpin FAM Suatu Hari Nanti – Tunku Ismail
Hafiz Omar

DYAM Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap suatu hari nanti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dipimpin oleh bekas pemain bola sepak negara.
Respon sedemikian dilontarkan baginda susulan badan induk bola sepak negara seberang tambak, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) secara rasminya melantik kapten skuad kebangsaan Singapura, Hariss Harun selaku Naib Presiden FAS.
Tunku Ismail melabelkan pelantikan pemain tengah berusia 34 tahun berkenaan yang pernah menyarung jersi JDT dari tahun 2014 hingga 2021 sebagai keputusan terbaik dan selayaknya.
“Keputusan terbaik dan selayaknya. Tahap profesional yang tinggi dan individu yang hebat. Harapnya suatu hari nanti bekas pemain-pemain bola sepak dapat memimpin FAM.” tulis Tunku Ismail menerusi akaun X rasminya.
Hariss mengisi jawatan Naib Presiden FAS secara rasmi pada Isnin selepas berlangsungnya Kongres Luar Biasa FAS.
Kongres itu menyaksikan individu ketiga terkaya di Singapura merangkap Pengerusi Lion City Sailors FC, Forrest Li dilantik secara rasmi sebagai Presiden FAS bagi penggal 2025-2029.
Baru-baru ini, kepimpinan badan induk bola sepak negara, FAM turut mencipta sejarah baharu apabila legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan muncul sebagai bekas pemain bola sepak negara yang pertama mengisi jawatan Naib Presiden FAM.
Manakala untuk kerusi Presiden FAM, ianya belum pernah disandang oleh bekas pemain negara sejak tahun 1951. Manakala Tunku Ismail sendiri pernah menduduki kerusi No.1 itu dari 2017 hingga 2018.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers