Harry Kane Julang Kejuaraan Bersama Bayern Munich
Hafiz Omar

Penjaring gol terbanyak skuad kebangsaan England sepanjang zaman, Harry Kane berjaya menjulang kejuaraan sulung yang dinanti-nantikan dalam kariernya sejak sekian lama apabila kelabnya, Bayern Munich muncul juara Bundesliga 2024-2025.
Mereka mengesahkan kejuaraan tersebut susulan pencabar terdekatnya, Bayer Leverkusen terikat 2-2 dengan SC Freiburg dalam perlawanan ke-32 liga, pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Keputusan itu membuatkan Bayern yang memimpin carta Bundesliga dengan kutipan 76 mata sudah tidak dapat dipintas lagi oleh Leverkusen biarpun Bayern tewas dalam baki dua perlawanan akan datang.
Pada masa yang sama, ianya turut turut memberikan gelaran juara Bundesliga yang ke-33 buat Bayern sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 1963.
Kane, 31 tahun, tidak pernah meraih sebarang trofi sejak memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama skuad senior Tottenham Hotspur pada tahun 2010 biarpun muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab berkenaan dengan catatan 280 gol.
Paling terdekat, Kane sekadar meraih gelaran naib juara sebanyak empat kali dengan mara ke perlawanan akhir Piala Liga (2014-2015, 2020-2021), Liga Juara-Juara UEFA (2018-2019) dan menamatkan saingan Liga Perdana (PL) di tangga kedua (2016-2017).
Sebagai rekod, Kane menyertai Bayern pada Ogos 2023 dan menamatkan kempen musim lalu tanpa sebarang gelaran juara atau meraih sebarang trofi dalam pertandingan kompetitif.
Sebagai tambahan, rakan senegara serta bekas rakan sepasukannya di Spurs, Eric Dier yang menyertai Bayern bermula Januari 2024 turut sama meraih gelaran juara yang pertama dalam kariernya.