Filippo Inzaghi Bimbing Pisa SC Ke Serie A Selepas 34 Tahun

May 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang beraksi hampir dengan Menara Condong Pisa iaitu Pisa SC akan kembali menghiasi kancah bola sepak tertinggi Itali, Serie A buat julung kalinya selepas 34 tahun.

Ianya gara-gara penyerang legenda, Filippo Inzaghi berjaya membimbing kelab berkenaan menduduki tangga kedua Serie B pada musim ini sekaligus meraih slot promosi secara automatik ke saingan Serie A pada bagi musim hadapan.

Pengesahan tempat kedua itu menjelma pada Ahad setelah pasukan di tangga ketiga, Spezia tewas 1-2 di tangan Reggiana pada aksi ke-37 liga pada musim ini.

Kekalahan itu menyebabkan Pisa yang mengumpul 72 mata daripada 36 perlawanan sudah tidak dapat dikejar lagi oleh Spezia dalam baki dua perlawanan untuk musim ini biarpun Pisa tewas dalam kedua-dua perlawanan terbabit.

Sementara itu, juara Serie B bagi musim ini pula menjadi milik Sassuolo – kembali semula ke Serie A selepas tersingkir setelah tamatnya saingan musim 2023-2024. 

Untuk makluman, saingan Serie B memberikan tiga slot promosi ke saingan Serie A dimana juara dan naib juara sahaja akan meraih slot promosi secara automatik.

Sementara itu, satu lagi slot akan direbut oleh pasukan yang menghuni tangga ketiga hingga kelapan Serie B menerusi perlawanan play-offs.

Sebagai rekod, Filippo atau turut digelar Pippo mula menyertai Pisa pada Julai 2024 dengan kontrak sehingga Jun 2026 – lima bulan selepas dia diberhentikan oleh Salernitana berikutan keputusan yang tidak memuaskan.

Sebelum kedatangan Pippo, Pisa yang beraksi di Arena Garibaldi – Stadio Romeo Anconetani hanya berada dalam kedudukan pertengahan Serie B sejak musim 2019-2020.

Pencapaian terbaik mereka hanya hadir pada musim 2021-2022 dimana mereka menamatkan saingan Serie B di tangga ketiga namun gagal meraih promosi ke Serie A berikutan tewas perlawanan akhir play-offs di tangan Monza.

Promosi ke saingan Serie A membolehkan Pippo berada dalam kancah yang sama dengan adiknya, Simone Inzaghi yang membimbing Inter Milan pada saat ini.

Featured Image: Pisa SC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd