Penang FC Lantik Rosle Md Derus Ganti Merzagua Sebagai Pengarah Teknikal
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air dan mempunyai Lesen AFC iaitu Penang FC nampaknya mula menggerakkan kerja-kerja mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Antaranya kelab berjulukan Harimau Kumbang itu mengumumkan pelantikan Pengarah Teknikal yang baharu iaitu Rosle Md Derus menggantikan legendanya, Merzagua Abderrazzak.
“Penang FC dengan ini ingin mengumumkan pelantikan Rosle Md Derus sebagai Pengarah Teknikal baharu kelab bagi memperkukuhkan lagi struktur teknikal dan pembangunan bola sepak Harimau Kumbang menjelang musim akan datang.” tulis satu kenyataan oleh Penang FC pada hari ini.
Penang FC menjelaskan Rosle dilantik atas faktor pengalaman luasnya dalam bola sepak tanah air selain mempunyai rekod yang mengagumkan sebagai pemain dan jurulatih serta pembangunan pemain muda.
Antara peranan terakhir Rosle dalam bidang kejurulatihan adalah melatih Kedah Darul Aman FC Bawah 23 Tahun (B-23) mara ke kelompok lapan terbaik saingan Piala MFL 2023 serta merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan yang membimbing Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia 2021.
“Penang FC percaya bahawa pelantikan ini merupakan langkah strategik ke arah membawa kelab ke tahap yang lebih baik bukan sahaja dalam pencapaian pasukan utama, malah dalam pembinaan ekosistem pembangunan akar umbi yang mampan dan berdaya saing.”
“Kami mengalu-alukan kehadiran beliau ke dalam keluarga Penang FC dan mendoakan kejayaan beliau dalam menjalankan tanggungjawab besar ini.” tambah kenyataan itu lagi.
Pada Sabtu lalu, Penang FC telah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Merzagua menandakan berakhirnya khidmatnya sebagai Pengarah Teknikal kelab yang bermula dari Januari 2024.
Selain itu, Penang FC turut mengucapkan terima kasih kepada Manzoor Azwira yang mengemudi Penang FC serta skuad Piala MFL bagi musim 2024-2025.
Featured Image: Penang Football Club