Mentaliti Bola Sepak Di Negara Ini Sedang Mundur Ke Belakang

May 6, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

“Mentaliti bola sepak di negara ini sedang mundur ke belakang, bukan kerana mereka inginkan apa yang anda ada, mereka cuma tidak mahu kita memilikinya.” luah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor memberikan kenyataan sedemikian sebagai reaksi kepada segelintir kelab seterunya serta individu-individu yang merungut tidak dapat bersaing dengan JDT yang baru sahaja mengesahkan gelaran “triple quadruple” baru-baru ini.

Berikutan dominasi oleh JDT itu disamping kemampuan kewangan yang dimiliki, terdapat juga yang melontarkan idea serta mengusulkan agar pasukan-pasukan lain menarik diri daripada bertanding di Liga Malaysia.

“Lucu apabila segelintir ‘pesaing’ kami sering merungut dan mengadu kononnya mereka tidak dapat bersaing dengan kami, sehingga menghasut  bahawa semua pasukan patut tarik diri dan kononnya liga ini sudah mati.”

“Kita tidak lihat mentaliti sebegini dalam liga-liga lain walaupun ada pasukan yang jauh lebih mendominasi berbanding kelab lain. Ini memalukan dan negara jiran seperti Thailand serta Indonesia juga nampak jelas mentaliti bola sepak di Malaysia, jika tak mampu bersaing, lebih baik tarik diri.”

“Sepatutnya kita mendesak pasukan-pasukan kita untuk bangkit, lebih profesional dan bersaing dengan kemampuan mereka.” ujar baginda menerusi satu perkongsian oleh platform media sosial milik JDT.

Baginda turut mengkritik mentaliti itu dengan contoh dimana JDT ketika beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) yang dipenuhi dengan kelab-kelab gergasi yang mempunyai kemampuan kewangan yang lebih besar serta pemain-pemain yang lebih hebat.

Namun, JDT tidak pula merungut mahupun menarik diri dan terus beraksi di peringkat tahun musim demi musim.

“JDT juga tidak akan mampu bersaing di pentas Asia jika kita memiliki mentaliti seperti itu, kerana bajet kita jauh lebih rendah berbanding banyak pasukan lain, termasuk dari Asia Timur namun kita masih mampu menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 12 pasukan pada musim ini.”

“Peminat bola sepak Malaysia sepatutnya berbangga kerana JDT mewakili Malaysia dan mempunyai kedudukan yang baik di peringkat Asia. Mengikut Opta Power Rankings, kami kini berada di tempat ke-10 di Asia.” tambahnya.

Featured Image: HRH Crown Prince of Johor Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd