Bojan Hodak Pertahan Kejuaraan Liga 1 Indonesia Bersama Persib Bandung

May 6, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jurulatih dari Croatia yang pernah berkelana lama dalam kancah bola sepak Malaysia iaitu Bojan Hodak berjaya membimbing kelabnya, Persib Bandung mempertahankan kejuaraan Liga 1 Indonesia.

Gelaran juara kedua berturut-turut itu disahkan setelah salah satu pencabar terdekatnya, Persebaya Surabaya terikat 3-3 dengan Persik Kediri pada aksi ke-31 liga pada Isnin.

Sebelum itu, pada Jumaat, satu lagi pencabarnya, Dewa United turut masa melakar keputusan seri 1-1 ketika bertemu Barito Putera pada minggu perlawanan yang sama.

Biarpun Persib tewas 0-1 di tangan Malut United pada Jumaat, dua keputusan di atas membuatkan Persib yang mengumpul 64 mata tidak dapat dipotong lagi oleh Persebaya dan Dewa United biarpun Persib tewas dalam baki tiga perlawanan liga.

Tiga perlawanan berikutnya, Persib akan bertemu Barito Putera, Persita Tangerang dan Persis Solo bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Kejuaraan itu turut membolehkan Bojan, 54 tahun, mencipta sejarah sebagai ketua jurulatih asing pertama yang menjuarai Liga 1 secara dua kali berturut-turut.

Malahan ini juga merupakan julung kalinya Persib merangkul kejuaraan liga dua kali berturut-turut dalam sejarahnya.

Sebagai rekod, Bojan mula mengemudi Persib sekitar Julai 2023 selepas meninggalkan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dibimbingnya sejak 2021.

Selain itu, di Malaysia, Bojan juga pernah membimbing skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan UPB-MyTeam FC.

Featured Image: PERSIB

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd