Akmal Rizal Berpisah Dengan Penang FC
Hafiz Omar

Bekas penyerang kebangsaan yang kini bergiat dalam bidang kejurulatihan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini berstatus ejen bebas selepas tidak lagi berkhidmat dengan Penang FC.
Ianya selepas kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu menerusi satu kenyataan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas khidmat yang dicurahkan jurulatih berusia 43 tahun berkenaan.
“Sepanjang tempoh bersama Penang FC, Coach Akmal telah menunjukkan semangat kepimpinan yang tinggi, semangat kesukanan yang jitu, serta keazaman dalam membentuk pasukan yang kompetitif dan berdaya saing.”
“Sumbangan beliau bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi pasukan, malah turut meninggalkan impak yang positif terhadap pembangunan pemain-pemain muda.” tulis kenyataan oleh Penang FC.
Sebagai rekod, Akmal mula menyertai barisan kejurulatihan Penang FC pada tahun 2020 dan menjadi ketua jurulatih bagi skuad Piala Presiden musim 2022 dan Penang FC II yang beraksi dalam kancah Piala MFL musim 2023
Kemudiannya, pemegang lesen kejurulatihan Diploma Pro AFC diberikan peranan untuk memangku jawatan ketua jurulatih skuad utama pada penghujung musim 2023 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih bagi mengharungi musim 2024-2025.
Bagaimanapun, peranannya selaku ketua jurulatih skuad utama tidak berpanjangan dan Akmal diturunkan pangkat kembali mengemudi skuad Penang FC II selepas keputusan yang tidak begitu memberangsangkan.
Akhirnya, posisi yang ditinggalkan itu telah digantikan oleh Wan Rohaimi Wan Ismail.
Featured Image: Penang Football Club