Pemegang Pas Bermusim Grandstand SFC Dapat Pas Eksklusif Super GT Malaysia
Hafiz Omar

Naib juara Piala FA dan Liga Super 2024-2025, Selangor FC (SFC) tampil menawarkan sesuatu yang istimewa kepada para penyokongnya yang mempunyai Pas Bermusim Grandstand SFC Musim 2025-2026 kelak.
Keistimewaan tersebut adalah pemegang pas bermusim berkenaan akan ditawarkan pas eksklusif ke acara lumba kereta, Super GT Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 26hb hingga 28hb Jun nanti.
Berpusat di Jepun, Super GT merupakan acara lumba kereta yang menampilkan dua kelas perlumbaan iaitu GT500 dan GT300 melibatkan pelbagai pengeluar dari negara berjulukan matahari terbit itu sendiri dan antarabangsa.
Ianya berlangsung sebanyak lapan kali setahun dimana tujuh daripadanya dipertandingkan di Jepun manakala satu lagi perlumbaan diadakan di Malaysia.
Pas eksklusif ke acara Super GT di Malaysia ditawarkan buat pemegang Pas Bermusim Grandstand SFC Musim 2025-2026 selepas SFC dan Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd, pemegang pengedaran konten Super GT Motorsports di luar Jepun, mengumumkan kerjasama.
Menerusinya, penyokong setia SFC yang mempunyai pas bermusim itu akan berpeluang untuk merasai pengalaman menonton perlumbaan Super GT dari tempat duduk grandstand.
Bukan itu sahaja, para pengunjung turut berpeluang untuk mengenali budaya, makanan dan hiburan dari Jepun yang dibawakan khas secara eksklusif oleh Nihon Masturi – sebuah festival kebudayaan Jepun yang terkenal.
Sementara itu, Rakan Platinum Super GT Motorsports dan Haro Sports & Entertainment pula akan diberi peluang untuk menikmati akses “skydeck” semasa perlawanan SFC sepanjang musim 2025-2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).