Warrix Taja Kelantan Red Warrior FC RM1 Juta

May 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab bola berpangkalan di Kelantan yang dilancarkan pada Disember tahun lalu, Kelantan Red Warrior FC menerima suntikan penajaan sebanyak RM1 juta bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.

Penajaan itu datangnya daripada syarikat pengeluar pakaian sukan terkenal dari Thailand iaitu Warrix bagi tempoh dua musim iaitu musim 2025-2026 dan 2026-2027. 

Penajaan ini menyaksikan skuad utama bimbingan jurulatih berpengalaman tanah air, Irfan Bakti akan menggunakan persalinan keluaran Warrix merah dan putih bagi jersi pertama (home) dan putih bagi jersi kedua (away).

Perjanjian penajaan itu telah ditandatangani di Warrix Flagship Store, Siam Square, Bangkok pada Rabu.

Delegasi oleh Kelantan Red Warrior ke majlis perjanjian itu diketuai oleh presiden, Nik Hafiz Naim Nik Hassan diiringi oleh timbalan presiden, Ahmad Mukhlis Ismail dan disaksikan oleh peguam kelab, R. Fadhli Indra Didi Indra Tjahya.

Sementara itu, Warrix  pula diwakili oleh ketua pegawai eksekutif, Wisan Wanasaksrisaku serta Pengarah Universal Sports Sdn Bhd, Tan Peng Koon yang merupakan pengedar rasmi jenama Warrix di Malaysia.

Untuk makluman semua, Kelantan Red Warrior menjadi kelab kedua dari Malaysia yang mendapat penajaan persalinan daripada Warrix bagi beraksi pada musim hadapan selain daripada Negeri Sembilan FC.

Di luar negara, Warrix turut menaja Phnom Penh Crown FC dari Kemboja, Tampines Rovers dari Singapura dan skuad kebangsaan Thailand.

Sebagai tambahan, Kelantan Red Warrior belum mendapat sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana penganjur pertandingan bola sepak tempatan samada Malaysian Football League (MFL) atau Amateur Football League (AFL) untuk beraksi dalam saingan kelolaan mereka.

Featured Image: Kelantan Red Warrior FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd