Arsenal Gagal Julang Sebarang Trofi Musim 2024-2025

May 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Peluang kelab berpangkalan di utara London, Arsenal untuk menjulang satu-satunya trofi dalam pertandingan kompetitif bagi musim 2024-2025 nampak telah lenyap sama sekali.

Selepas tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Liga, pusingan ketiga Piala FA serta gagal mengejar Liverpool daripada meraih kejuaraan Liga Perdana (PL), skuad kendalian Mikel Arteta terlucut pula peluang untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ianya gara-gara juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) berhasil menyingkirkan Arsenal pada peringkat separuh akhir UCL dengan keputusan 3-1 secara agregat.

Perlawanan timbal balik separuh akhir UCL yang berlangsung di Parc de Princes berakhir dengan keputusan 2-1 berpihak kepada PSG hasil jaringan Fabian Ruiz (21’) dan Achraf Hakimi (72’).

Arsenal pula sekadar meraih jaringan tunggal menerusi ayam tambatannya, Bukayo Saka (76’).

Sebelum itu, Arsenal telah tewas 0-1 di lamannya sendiri, Stadium Emirates pada perlawanan pertama separuh akhir.

PSG yang mencatatkan kemenangan meneruskan kemaraannya ke perlawanan akhir untuk berhadapan dengan gergasi Itali, Inter Milan bagi merebut trofi UCL pada musim ini.

Sebagai rekod, PSG belum pernah menjulang trofi UCL dan ini merupakan kali kedua dalam sejarahnya mara ke perlawanan akhir selepas menjejakinya buat julung kalinya pada musim 2019-2020.

Featured Image: Arsenal

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd