KDN FC Lantik Bekas Ahli Lembaga Pengarah MDEC Sebagai CEO Baharu
Hafiz Omar

Kelab tercorot Liga Super 2024-2025, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) tampil mengumumkan pelantikan ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu sekaligus menandakan permulaan era baharu dalam pengurusannya.
Menerusi satu pemakluman oleh kelab, individu yang dipilih mengisi jawatan tersebut ialah Dato’ Mohd Irwan Rizal Ali Napiah yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) – sebuah agensi di bawah Kementerian Digital.
Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIR – sebuah syarikat reka bentuk dan pembangunan laman sesawang yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan anak syarikat Rusia dan China.
“Dato’ Mohd Irwan Rizal merupakan seorang tokoh profesional berpengalaman dalam bidang korporat dan pengurusan sukan, termasuk terlibat dalam beberapa inisiatif pembangunan sukan di peringkat negeri.”
“Dengan latar belakang kepimpinan strategik, beliau diyakini mampu memperkukuh struktur kelab, menarik pelaburan, dan merancang pembangunan jangka panjang untuk memastikan KDN FC menjadi pencabar utama dalam liga bola sepak Malaysia.” tulis kenyataan oleh KDN FC.

Dalam pengurusan sukan pula, Irwan merupakan pengasas kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kuala Lumpur (KL Legends) dan turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi syarikat dengan melibatkan diri dalam Setiawangsa United Football Club dan Setiawangsa Soccer School.
“Dato’ Irwan komited untuk menerajui transformasi menyeluruh kelab yang berfokus kepada kemampanan kewangan, profesionalisme pengurusan, penglibatan penyokong serta pembangunan akar umbi.”
“Di bawah kepimpinannya, KDN FC akan melaksanakan pelbagai inisiatif perniagaan bertujuan untuk menjadikan KDNFC sebagai sebuah organisasi sukan yang berdaya saing.” tambah kenyataan oleh KDN FC lagi.
Sebelum ini, Wan Mohd Izul Ikman merupakan CEO KDN FC namun beliau telah melepaskan jawatannya sekitar Mei 2024 atas alasan memberikan tumpuan kepada urusan lain yang lebih utama.
Sebagai tambahan, selain daripada menghuni tangga tercorot Liga Super, KDN FC turut terkandas pusingan 16 bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia masing-masing serta kandas suku akhir MFL Challenge Cup.
Selain pencapaian yang tidak memberangsangkan sepanjang musim 2024-2025, KDN FC juga pada saat ini berdepan dengan sekatan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikenakan sejak 14 Mac lalu.
Featured Image: Kelantan Darul Naim FC