Bekas Penolong Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kemudi Newcastle Jets

May 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai pemergian bekas penolong ketua jurulatih skuad senior bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Mark Milligan terjawab dengan pengumuman oleh sebuah kelab yang berpangkalan di Australia.

Kelab tersebut adalah Newcastle Jets yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak negara berkenaan dimana mereka melantik Milligan sebagai ketua jurulatih baharunya.

“Newcastle Jets berbesar hati mengesahkan Mark Milligan sebagai Ketua Jurulatih kelab A-League, menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2026-2027.” tulis kenyataan rasmi kelab berjulukan The Jets tersebut.

Penyertaan semula Milligan bersama Newcastle Jets boleh diumpamakan bagai sirih pulang ke gagang memandangkan dia pernah bermain bersama kelab itu pada musim 2008-2009.

Milligan hadir selepas membantu barisan kejurulatihan Harimau Malaya diketuai Peter Cklamovski sekitar dua bulan sahaja. Sebelum itu, Milligan berperanan sebagai penolong jurulatih di Adelaide United daripada 2022 hingga 2025.

Pemergian daripada skuad Harimau Malaya dikongsikan sendiri oleh Cklamovski pada awal April lalu dengan alasan untuk mencari peluang di luar negara.

Featured Image: Newcastle Jets FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd