Man Utd, Spurs Rebut Trofi UEL Pada 22 Mei
Hafiz Omar

Dua kelab bawahan Liga Perdana (PL) iaitu Manchester United (Man Utd) dan Tottenham Hotspur (Spurs) akan bertembung sesama sendiri pada 22hb Mei kelak bagi merebut kejuaraan Liga Europa UEFA (UEL) 2024-2025.
Man Utd bimbingan Ruben Amorim yang menghuni tangga ke-15 PL mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir UEL selepas menamatkan aksi kedua separuh akhir bertemu Athletic Bilbao, pada awal pagi tadi, dengan keputusan 4-1.
Ianya hasil jaringan berganda daripada Mason Mount (72’, 90+1’) serta Casemiro (79’) dan Rasmus Hojlund (85’). Sementara itu, Bilbao mendapatkan jaringan tunggalnya menerusi Mikel Jauregizar (31’).
Keputusan itu menjadikan Man Utd mengatasi Bilbo 7-1 secara agregat selepas mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi pertama pada minggu lalu.

Sementara itu, Spurs yang berada di tangga ke-16 PL pula mara selepas menundukkan FK Bodø/Glimt dari Norway pada peringkat separuh akhir dengan keputusan 5-1 secara agregat.
Keputusan itu hadir selepas anak-anak buah Ange Postecoglou mencetak kemenangan 2-0 hasil jaringan Dominic Solanke (63’) dan Pedro Porro (69’) pada awal pagi tadi.
Sebelum itu, pada minggu lalu, Spurs telah meraih kemenangan 3-1 ketika beraksi di halamannya sendiri.
Perlawanan akhir itu nanti akan berlangsung di Stadium San Mames, Sepanyol dengan sepak mula pada jam 3 pagi waktu Malaysia.
Berdasarkan rekod, Man Utd dan Spurs sudah bertemu sebanyak tiga kali pada musim ini, dua dalam saingan PL dan satu dalam pertandingan Piala Liga, dan kesemuanya berakhir dengan Spurs mencatatkan kemenangan.
Featured Image: UEFA Europa League