ASN 2024: Bonnie, Hasmunirah Rangkul Gelaran Olahragawan & Olahragawati Paralimpik
Hafiz Omar

Kejayaan mempertahankan pingat di temasya Paralimpik Paris 2024 memecahkan rekod dunia bagi kategori 72 kilogram (kg) membolehkan Bonnie Bunyau Gustin dinobatkan selaku Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2024.
Atlet kelahiran Sarawak yang bakal menjengah usia 26 tahun itu dinobatkan dengan gelaran itu di majlis Anugerah Sukan Negara 2024, pada hari ini, sekaligus menyaksikannya mempertahankan gelaran yang turut dimenanginya pada tahun lalu.
Sebagai rekod, Bonnie mengesahkan pingat emas keduanya daripada temasya Paralimpik apabila memecahkan rekod yang diciptanya sendiri sebelum ini dengan melakukan angkatan beban 232kg dengan jayanya.
Sementara itu, atlet para boling padang, Hasmunirah Maliki pula membawa pulang gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024 hasil merangkul gelaran juara perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Dunia 2024.

Majlis yang sama berlangsung di Subang Jaya pada pagi tadi turut mengumumkan pemenang bagi Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan iaitu pasukan sepak takraw negara manakala Sin Li Jane, Natasha Roslan, Gillian Lim, Nora Lyana Nastasi, Faten Najihah, Syazwani Sahari yang menganggotai pasukan wanita tenpin boling memenangi anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan.
Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik jurulatih para powerlifting, Jamil Adam, dan Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan milik Siti Rahmah Mohamed Nasir dari sukan pencak silat.
Sunny Si Poh Heng dari Persatuan Tenpin boling Sarawak dan bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohammad Norza Zakaria pula diumumkan penerima Anugerah Kepimpinan Sukan manakala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Sukan.
Johor Motorsport Racing Team (JMR), Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Selangor Red Giant (E-Sports MLBB) dan bekas pengulas sukan tersohor tanah air, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dipilih menerima Anugerah Khas.