Joel Cornelli Ketua Jurulatih Malayan Tigress Baharu, Soleen Al-Zoubi Naik Pangkat

May 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak wanita kebangsaan yang berjulukan Malayan Tigress mempunyai ketua jurulatih yang baharu dan individunya ialah Joel Cornelli yang berasal dari Brazil.

Pelantikan beliau yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki Arema FC yang beraksi dalam kancah Liga Indonesia diumumkan dalam satu sidang media yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada hari ini.

Berusia 58 tahun dan pemegang Lesen Pro CONMEBOL ini mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan termasuk penglibatan dengan beberapa kelab profesional di Amerika Selatan serta Asia khususnya di Asia Barat.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Joel ke dalam keluarga bola sepak wanita Malaysia dan saya percaya beliau dapat membawa pendekatan yang segar dan baharu ke dalam skuad bola sepak wanita kebangsaan terutama sekali menjelang aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Jun nanti.” kata Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.

Dalam Kumpulan H, Malayan Tigress telah diundi bersama-sama dengan Korea Utara, Palestin dan Tajikistan. Aksi kelayakan itu akan berlangsung dari 23hb Jun hingga 5hb Julai 2025 bertempat di Dushanbe, Tajikistan.

“Beliau akan mula bekerja dengan barisan pemain pada kem latihan pusat Malayan Tigress yang dijadualkan bermula hujung Mei nanti. Dengan sokongan menyeluruh daripada barisan kejurulatihan serta FAM, saya percaya skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu mencipta kejutan di Tajikistan, nanti,” tambahnya.

Sebelum ke terbang ke Tajikistan, Joel akan memulakan tugasnya dengan membawa Malayan Tigress untuk beraksi dalam siri perlawanan antarabangsa Tier 1 Tri Nation di Thimphu, Bhutan – melibatkan skuad tuan rumah serta Hong Kong.

Kejohanan itu menjadi medan untuk mempersiapkan dan menguji Malayan Tigress sebelum bermain dalam saingan Kelayakan Piala Asia Wanita 2026. Berdasarkan jadual yang dikongsikan, Malayan Tigress akan turun menentang Hong Kong pada 31hb Mei (Sabtu) diikuti dengan Bhutan pada 3hb Jun (Selasa).

Sementara itu, Soleen pula diberikan peranan baharu sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd