Terbuka Thailand: Beregu No.75 Dunia Singkir Wei Chong-Kai Wun Di Pusingan 16

May 15, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang menghuni tangga ketujuh dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun dikejutkan oleh pasangan Denmark sekaligus gagal melangkah ke peringkat suku akhir Terbuka Thailand 2025.

Lawannya, William Kryger Boe dan Christian Faust Kjær yang sekadar menduduki ranking 75 dunia berhasil melakar kemenangan ke atas Wei Chong-Kai Wun, pilihan ketiga kejohanan, menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 19-21 dan 18-21 dalam masa 46 minit.

Lebih mengejutkan, William-Christian yang berusia 22 dan 20 tahun masing-masing melakar kejutan ini dalam pertemuan sulung menentang Wei Chong-Kai Wun di pentas antarabangsa.

Pada masa yang sama, William-Christian buat julung kalinya berjaya menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 dalam karier mereka.

Menanti mereka di situ adalah beregu Chinese Taipei yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Lee Fang-Chih dan Lee Fang-Jen untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Fang-Chih dan Fang-Jen mara selepas menyingkirkan pemain senior negara, Goh V Shem yang bergandingan dengan pemain Korea, Choi Sol Gyu pada pusingan 16 secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 21-11.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd