Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers – Edisi Malaysia Tarik Lebih 600 Peserta

May 16, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers – Edisi Malaysia yang berlangsung di PickleDepot @ Sentul Depot, Kuala Lumpur – sebuah venue yang baru sahaja seminggu dibuka untuk sukan berkenaan menempatkan 12 gelanggang secara keseluruhan. 

Bukan itu sahaja, Skechers, selaku penganjur memaklumkan penganjuran yang memasuki tahun ketiga kejohanan ini mendapat sambutan yang luar biasa dengan menarik lebih 600 pemain tempatan dan antarabangsa – meningkat berbanding edisi-edisi yang lalu 

Sebagai perbandingan, penganjuran pada edisi tahun 2024 dianggarkan disertai kira-kira lebih 200 peserta sahaja. 

Bertambah istimewa, penyertaan pada tahun ini menyaksikan penglibatan pemain-pemain yang lebih berkebolehan dalam sukan ini sekaligus meningkatkan tahap kompetitif dan saingan kejohanan.  

“Tahun ini sangat istimewa kerana kita melihat lonjakan besar dalam penyertaan serta tahap persaingan. Kebanyakan pemain kini memiliki skor DUPR (Dynamic Universal Pickleball Rating), menunjukkan profesionalisme yang semakin tinggi dalam kalangan pemain tempatan,” katanya. 

Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Pertengahan dan Kategori Terbuka.

Bagi Kategori Pertengahan, ianya dibahagikan pula kepada sektor Perseorangan 19 Tahun ke atas serta Beregu 19 Tahun Ke Atas dan Beregu 35 Tahun Ke Atas dengan juara akan membawa pulang hadiah terkumpul sebanyak RM1,900 dan RM3,800 masing-masing.

Sementara itu, Kategori Terbuka turut dibahagikan pengkelasan yang sama namun ditambah dengan sektor Beregu 50 Tahun Ke Atas. Bagi kategori ini pula, juara akan meraih hadiah terkumpul sebanyak RM3,400 dan RM6,300 masing-masing.

Untuk makluman, kejohanan pertama diadakan pada 2023 dan ianya merupakan antara pertandingan pickleball berskala besar yang terawal dianjurkan di Malaysia. 

Meskipun belum disepadukan dalam siri kejohanan serantau, penganjur optimis untuk mengembangkan jaringan pertandingan ini ke negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam pada masa akan datang.

“Sekarang kami belum pergi ke kejohanan lain. Kami dalam perancangan mahu membuat siri kejohanan tapi saya tidak dapat membuat pengumuman. Tetapi, semua syarikat saudara kami di Singapura, Thailand dan Vietnam, mereka mempunyai kejohanan yang boleh dipilih mereka sendiri. 

“Tahun ini kejohanan sudah habis. Harap-harap kita dapat melakukan sesuatu tahun depan,” tambahnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers – Edisi Malaysia. 

Majlis pembukaan dan perasmian kejohanan turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan usahawan terkenal tanah air iaitu Amelia Henderson, yang juga merupakan rakan kongsi utama Pickle Depot.

“Ini adalah pertandingan pickleball antarabangsa, edisi Malaysia 2025 di Pickle Depot – dan kami sangat berbangga menjadi tuan rumah.”

“Walaupun kami baru dibuka seminggu, menerima kejohanan pertama berskala besar adalah satu pencapaian luar biasa. Ia menunjukkan komitmen kami terhadap pembangunan sukan ini di Malaysia,” tambahnya. 

Dalam pada itu, pihak pengurusan Pickle Depot turut menegaskan bahawa penubuhan fasiliti tersebut bukan sekadar mengikuti trend semasa, sebaliknya sebagai usaha untuk menyokong ekosistem sukan yang semakin berkembang.

“Kami tidak ikut ‘bandwagon’. Kami wujud untuk menyokong peminat dan pemain sukan ini secara jangka panjang. Kami mahu mencipta ruang yang berkualiti tinggi untuk pembangunan pickleball di Malaysia,” jelas Amelia Henderson lagi.

Dengan sambutan hangat tahun ini, Pickle Depot menyatakan komitmen untuk terus menjadi venue rasmi bagi edisi Skechers akan datang, serta membuka pintu kepada lebih banyak kejohanan dan aktiviti komuniti dalam masa terdekat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd