Napoli, Inter Rebut Kejuaraan Serie A Pada Aksi Ke-38
Hafiz Omar

Kemahkotaan Serie A musim 2024-2025 nampaknya akan ditentukan pada perlawanan terakhir yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
Napoli yang menghuni puncak saingan Serie A terlepas peluang untuk mengesahkan kejuaraan liga yang keduanya dalam tempoh tiga musim selepas melakar diikat tanpa sebarang jaringan oleh Parma – kelab di tangga ke-16 liga – pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Kutipan satu mata itu memberikan Napoli bimbingan Antonio Conte pungutan 79 mata daripada 37 perlawanan yang telah diharungi sepanjang musim ini.
Pada masa yang sama, juara bertahan merangkap pencabar terdekatnya, Inter Milan pula turut melakar keputusan seri ketika melayan kunjungan Lazio, awal pagi tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Inter terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Yann Aurel Bisseck (45+2’) namun berjaya disamakan oleh Lazio melalui Pedro (72’).
Bagaimanapun, Inter kembali di hadapan menerusi jaringan Denzel Dumfries (79’) sebelum Pedro (90’) menyumbat satu lagi gol menerusi sepakan penalti untuk mengikat Inter dengan keputusan 2-2.
Bagi perlawanan terakhir musim ini, Napoli akan melayan kunjungan kelab di tangga ke-14 liga iaitu Cagliari sementara Inter pula akan berkunjung ke Stadium Giuseppe Sinigaglia untuk bertemu dengan kelab bimbingan Cesc Fabregas, Como.
Kejuaraan Serie A musim ini akan menjadi milik mutlak Napoli sekiranya mereka berhasil mencetak kemenangan pada perlawanan terakhir tersebut. Namun ianya boleh terlucut sekiranya Inter mencetak kemenangan dan Napoli diikat dengan keputusan seri atau mengalami kekalahan.
Featured Image: Serie A