Eogene, Ling Ching Juarai Terbuka Slovenia 2025
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki dan wanita negara, Eogene Ewe serta Wong Ling Ching mengungguli sektor masing-masing sekaligus berjaya merangkul kejuaraan di Terbuka Slovenia 2025 – salah satu kejohanan Siri Antarabangsa (IS).
Eogene, 20 tahun, kelahiran Perak, merangkul kejuaraan terbabit susulan beraksi cemerlang menumpaskan pemain yang menduduki ranking ke-252 dunia dari Republik Korea, Yoo Tae Bin dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad.
Pertarungan itu berhasil melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 12-21 dan 21-17 dalam masa satu jam.
Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan sulung diraih Eogene dalam kejohanan senior sejak menyertainya pada tahun 2022.
Sementara itu, Ling Ching, yang turut berusia 20 tahun, muncul juara dengan mengalahkan pemain Indonesia yang berada di ranking ke-140 dunia, Deswanti Hujansih Nurtertiari.
Ling Ching merekodkan kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-15 dalam masa 38 minit untuk mengesahkan kejuaraan pertama dalam karier peringkat seniornya.
Bukan itu sahaja, keputusan itu juga membolehkan Ling Ching kini mendahului rekod pertemuan dengan dua kemenangan ke atas Deswanti selepas mencetak kemenangan ketika bertemu buat julung kalinya di Cabaran Antarabangsa Indonesia pada tahun lalu.
Sementara itu, beregu wanita, Low Zi Yu dan Dania Sofea tersangkut di peringkat separuh akhir apabila gagal mengatasi gandingan Chinese Taipei, Lin Chih-Chun dan Lin Wang Ching.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia