Masters Malaysia: Sze Fei-Izzuddin, Wei Chong-Kai Wun Bertembung Di Suku Akhir

May 22, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Saingan suku akhir Masters Malaysia 2025 akan menemukan dua beregu lelaki negara yang berada dalam kelompok lapan terbaik dunia iaitu gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin serta Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Pertembungan itu itu tercetus susulan kedua-duanya berhasil melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing dalam saingan pusingan 16, sebentar tadi.

Sze Fei-Izzuddin yang menduduki ranking kedua dunia berhasil meraih kemenangan ke atas wakil Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Lin Yu Chieh secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-13 dalam masa 30 minit.

Manakala Wei Chong-Kai Wun yang berada di tangga kelapan dunia pula mencetak kemenangan ke atas beregu Jepun, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita juga secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-13.

Berdasarkan rekod, Sze Fei-Izzuddin dilihat mempunyai kelebihan menjelang pertembungan ini memandangkan belum pernah tewas di tangan Wei Chong-Kai Wun dalam dua perlawanan yang lalu.

Bahkan, kedua-dua pertembungan yang berlangsung di Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka China 2024 itu dimenangi oleh Sze Fei-Izzuddin secara “straight set”.

Ketika beraksi dalam saingan Masters Malaysia pada tahun lalu, kempen kedua-dua beregu, Sze Fei-Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun berakhir di peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd