DPMM FC Beraksi Sebagai Kelab Jemputan Dalam Saingan Liga Super 2025-2026

May 23, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kancah bola sepak tertinggi tanah air, Liga Super akan menerima kehadiran sebuah kelab dari luar negara iaitu DPMM FC pada musim baharu iaitu musim 2025-2026.

Pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan kehadiran kelab berpangkalan di Brunei berkenaan menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

“DPMM FC bakal beraksi sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk beraksi dalam saingan liga profesional Malaysia, Liga Super yang dijangka bermula pada Ogos 2025.” tulis kenyataan oleh MFL.

Ini merupakan kehadiran semula pasukan dari Brunei selepas Brunei beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dengan menyertai pertandingan Piala Malaysia pada tahun 1979 dan Liga Semi-Pro pada tahun 1989.

Bukan sahaja hadir untuk memeriahkan suasana, Brunei turut menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Beberapa tahun kemudian, pasukan itu diganti dengan DPMM FC dan pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tangga ketiga Liga Super musim 2005-2006 sebelum beraksi buat kali terakhir pada tahun 2008.

Selepas itu, DPMM FC berhijrah dan menyertai kancah Liga Singapura dari musim 2009 dan berjaya menjuarai saingan liga pada musim 2015 dan 2019 dan tiga kejuaraan Piala Liga Singapura. 

Perkembangan ini menjadikan saingan Liga Super 2025-2026 akan disertai oleh 14 buah kelab bersama-sama 13 kelab lagi yang telah mendapat Lesen Kebangsaan, Lesen Kebangsaan, Lesen Kebangsaan Bersyarat dan Lesen Kebangsaan Luar Biasa. 

“MFL amat mengalu-alukan kehadiran DPMM FC bagi menambah saingan dan kemeriahan Liga Malaysia 2025-2026 selepas kali terakhir mereka tampil dalam Liga Super pada 2008.” katanya.

Featured Image: DPMM FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd