Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik, Juara Bertahan Buat Perhitungan Di Separuh Akhir

May 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan membuat perhitungan dengan beregu lelaki No.1 dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen pada peringkat separuh akhir Masters Malaysia 2025.

Pertembungan itu terhasil berikutan Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan mudah ke atas Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard juga dari Denmark secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-19 dalam masa sekitar setengah jam, sebentar tadi.

Sementara itu, Kim-Anders yang merupakan juara bertahan bagi saingan ini mara susulan menumpaskan gandingan senegaranya, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard yang berada di ranking 28 dunia secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 22-20.

Pertemuan mereka bakal menjadi ulangan kepada perebutan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 – pertembungan terakhir melibatkan Aaron-Wooi Yik dan Astrup-Rasmussen di pentas antarabangsa.

Berdasarkan rekod, kedua-dua beregu ini sudah pernah berentap sebanyak 12 kali secara keseluruhan. Daripada kesemua pertemuan itu, Aaron-Wooi Yik mempunyai rekod cemerlang ke atas Astrup-Rasmussen dengan melakar lapan kemenangan termasuk di Sukan Olimpik pada Ogos tahun lalu.

Sebagai tambahan, Aaron-Wooi Yik menjadi wakil ketiga dan terakhir negara yang mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Masters Malaysia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super – selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan.

Featured Image: Badmintpn Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd