Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun Rebut Kejuaraan Masters Malaysia 2025

May 24, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kejuaraan bagi sektor beregu lelaki Masters Malaysia 2025 bakal direbut oleh dua beregu lelaki negara iaitu gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Pertemuan itu terhasil susulan Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking kelapan dunia berjaya menumbangkan juara Kejohanan Dunia BWF 2021 dari Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-14 pada peringkat separuh akhir, petang tadi.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik pula meraih kemenangan ke atas beregu No.1 dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen – pasangan yang sama ditewaskan semasa merebut pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 – menerusi tiga set permainan menerusi skor 21-19, 17–21 dan 21-15, sebentar tadi.

Pertemuan melibatkan kedua-dua beregu negara ini menarik untuk disaksikan memandangkan rekod pertemuan sebelum ini dilihat seimbang dengan Wei Chong-Kai Wun dan Aaron-Wooi melakar dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan.

Kali terakhir kedua-duanya berentap di pentas antarabangsa adalah pada Januari lalu di Masters Indonesia 2025 dimana Wei Chong-Kai Wun melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-15.

Pada masa yang sama, kemaraan kedua-dua beregu tersebut ke perlawanan akhir bakal menamatkan kemarau berpanjangan beregu negara untuk menjuarai Masters Malaysia.

Sebagai rekod, gandingan Goh V Shem dan Lim Khim Wah merupakan beregu lelaki negara terakhir yang bergelar juara di Masters Malaysia ketika beraksi pada edisi tahun 2013.

Sementara itu, sepasang lagi wakil negara yang berentap di peringkat separuh akhir, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tidak dapat melangkah ke perlawanan akhir susulan tewas di tangan gandingan China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd