Perak FC ‘Tutup Kedai’ Selepas Labur RM40 Juta Dalam Tempoh 3 Tahun

May 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang cukup bersejarah dalam kancah bola sepak tanah air, Perak FC mengumumkan tidak lagi beroperasi berkuat-kuasa serta-merta sekaligus terpaksa menutup kelab berjulukan The Bos Gaurus ini.

Pada masa yang sama, Perak FC juga tidak akan menyertai sebarang saingan liga mahupun pertandingan bola sepak pada musim akan datang dan ianya telah dimaklumkan kepada semua staf dan pemain-pemainnya.

“Para pemain dan jurulatih kini bebas untuk mencari peluang di kelab bola sepak yang lain,” tulis kenyataan media oleh Perak FC yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada Ahad.

Pengurusan Perak FC memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat berikutan kekurangan dana. Kenyataan media itu mendedahkan Perak FC yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX telah melaburkan lebih RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.

“Perak FC memulakan perjalanan ini dengan penuh aspirasi dan semangat dijiwa – membersihkan RM8 juta hutang yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu dan memperuntukkan RM10 juta setiap tahun untuk menguruskan operasi kelab.”

“Setiap sen yang dilaburkan digunakan hanya untuk kos operasi dan gaji kesemua empat pasukan, jurulatih, dan staf pentadbiran pada musim lalu.” jelasnya.

Sementara itu, baki dana yang ada digunakan oleh Perak FC untuk menghantar pulang pemain-pemain import dan membayar apa yang termampu kepada para staf dan pemain-pemain tempatan.

Pada masa yang sama, pihaknya masih menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki cenderamata untuk dijual serta menunggu dana daripada Malaysian Football League (MFL) bagi kegunaan menyelesaikan kewajiban yang tertunggak sebaik mungkin.

Selain daripada kekangan dana, Perak FC turut menjadi salah satu kelab yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada First Instance Body (FIB) bagi membolehkannya beraksi dalam saingan Liga Super 2025-2026.

Featured Image: Perak Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd