Pemilik Majoriti KDA FC Mohon Maaf, Pertimbang Sertai Platform Lain
Hafiz Omar

Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab berikutan kegagalan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan sekaligus tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2025-2026.
Menurut Dr. Mohd Daud, kegagalan itu berpunca daripada aspek kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Permohonan maaf terbuka daripada pemilik majoriti kelab berjulukan Sang Kenari itu dirakamkan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial kelab berkenaan pada Ahad.
“Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab.” katanya menerusi kenyataan terbabit.
Dr. Mohd Daud memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan Sang Kenari kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola negara – termasuk menyertai platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab.
“Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran – tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh.”
“Kami menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’ – satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas, dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun.” ujarnya.
Sementara itu, tunggakan yang masih belum dijelaskan akan dimuktamadkan selepas sesi perjumpaan bersama semua pihak yang terkesan.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC