Terbuka Singapura: Gandingan Semula Tang Jie-Ee Wei Cipta Kemenangan Sulung Di Jelajah Dunia

May 27, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mengiringi penyatuan semula dan penampilan bersama mereka dalam Jelajah Dunia BWF dengan kemenangan yang cukup menyakinkan ketika turun beraksi pusingan 32 di Terbuka Singapura 2025, pada hari ini.

Bertemu Presley Smith dan Jennie Gai dari Amerika Syarikat yang menduduki ranking ke-43 dunia, Tang Jie-Ee Wei berhasil menumbangkan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-15 dalam masa 31 minit.

Keputusan itu sekaligus membawa mereka bertemu dengan Ye Hong Wei dan Nicole Gonzales Chan dari Chinese Taipei yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia pada pusingan 16.

Untuk makluman, Hong Wei-Nicole mengesahkan tempat ke pusingan 16 susulan menyingkirkan beregu senegara, Liu Kuang Heng dan Jheng Yu Chieh menerusi skor 16-21, 21-16 dan 21-9 dalam masa 39 minit.  

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei sudah pernah berentap dengan beregu tersebut sebanyak dua kali setakat ini di Terbuka India 2025 dan Masters China 2024. Kedua-dua pertemuan terbabit dimenangi oleh Tang Jie-Ee Wei.

Sebagai tambahan, Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2025 pada pertengahan Mac lalu menjadi penampilan terakhir gandingan Tang Jie-Ee Wei di Jelajah Dunia BWF sebelum diumumkan berpisah – penghujung Mac.

Bagaimanapun, perpisahan itu tidak berpanjangan dan dimaklumkan sekitar pertengahan April bahawa kedua-duanya kembali bersatu, bermula dengan beraksi di kejohanan berpasukan, Piala Sudirman sebelum tampil di Jelajah Dunia BWF – Terbuka Singapura 2025.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd