Terbuka Indonesia: Tien Ci-Chiew Sien Paling Awal Tersingkir
Hafiz Omar

Beregu campuran yang bergerak secara bersendirian (independent), Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien menjadi wakil negara yang terawal tersingkir daripada Terbuka Indonesia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000.
Penyingkiran di pusingan 32 itu terjadi berikutan gandingan yang menduduki tangga 33 dunia tersebut tumpas di tangan beregu campuran No.2 tuan rumah, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu.
Dalam pertarungan tersebut, Tien Ci-Chiew Sien tewas secara “straigt set” menerusi skor 11-21 dan 16-21 dalam masa 31 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kesembilan di pusingan 32 daripada 12 kejohanan yang disertai mereka pada tahun ini.
Sementara itu, Jafar-Felisha yang meraih kemenangan dapat meneruskan kempen ke pusingan 16 bagi saingan ini.
Menantinya di peringkat terbabit adalah beregu Jepun yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan dari Jepun, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito yang mara susulan mengalahkan Chen Cheng Kuan dan Hsu Yin-Hui dari Chinese Taipei.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia