DPMM FC Tandatangan Perjanjian Penyertaan Liga Malaysia Selama 3 Musim
Hafiz Omar

Kelab dari negara jiran tetangga, DPMM FC yang dijemput sebagai kelab jemputan akan mewarnai kancah bola sepak tanah air sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga musim mendatang.
Perkembangan itu hadir selepas DPMM FC menandatangani perjanjian penyertaan bersama pengelola, Malaysian Football League (MFL) dari tahun 2025 hingga 2028 dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru, pada hari ini.
“Perjanjian ini menyaksikan DPMM FC sah bertanding dalam kempen Liga Super bermula musim 2025-2026, menandakan kemasukan semula kelab tersebut ke dalam saingan bola sepak profesional tanah air selepas kali terakhir menyertai Liga Super pada tahun 2008.” tulis kenyataan yang disiarkan oleh MFL.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dan Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Hj. Momin sambil disaksikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan serta Pengurus Pemasaran DPMM FC, Momin Md Jaafar.

MFL menjelaskan, kerjasama yang dimeterai ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk memperkukuhkan nilai kompetitif liga sekaligus meraikan kerjasama dua hala dalam pembangunan bola sepak serantau serta mengukuhkan perpaduan bola sepak ASEAN.
Sementara itu, DPMM FC pula teruja dengan pembabitan semula pihaknya dalam kancah Liga Malaysia dan kehadiran mereka diharapkan menambahkan lagi kehangatan persaingan bola sepak Malaysia.
“Kami di pihak DPMM FC pastinya gembira kerana dapat kembali bersaing dalam kancah Liga Malaysia yang memiliki jenama cukup besar di rantau ini. Kami sedar dengan kualiti yang ada pada setiap kelab Liga Super yang pastinya memberikan cabaran hebat buat kelab DPMM FC. Ini lah yang kami mahukan dan kami berharap dengan kehadiran DPMM FC dapat turut sama memeriahkan lagi saingan di Liga Super.”
“Liga Malaysia memang dekat dengan penyokong-penyokong di Brunei, saya percaya mereka juga tidak sabar dengan penyertaan DPMM FC pada musim baharu ini. Apa yang kami harapkan, cabaran ini akan dapat meningkatkan kualiti pemain kami selain mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” kata Md Ali.
Featured Image: Malaysian Football League