DPMM FC Henti Buru Khidmat Akhyar Rashid – Kekeliruan Melibatkan Ejen

June 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Hasrat kelab jemputan yang berpangkalan di Brunei, DPMM FC untuk mendapatkan khidmat pemain sayap lincah yang pernah menyarung jersi skuad bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Ianya berikutan pemain berusia 26 tahun terbabit masih mempunyai baki kontrak bersama majikan sedia adanya, Terengganu FC, selama semusim lagi.

Pada masa yang sama, perkembangan itu menyaksikan DPMM FC tidak mahu memecahkan tabung untuk mengeluarkan duit bagi menebus baki kontrak kepada Terengganu FC. 

“Perpindahan Akhyar Rashid ke DPMM tergendala,”

“Terdapat kekeliruan melibatkan ejennya, namun dia masih mempunyai baki kontrak selama setahun (bersama Terengganu FC), dan nampaknya mustahil untuk DPMM mendapat khidmatnya buat masa ini,” tulis kenyataan yang disiarkan pihak kelab di laman sesawang rasminya, pada Isnin.

Sebagai rekod, Akhyar yang pernah menyarung jersi skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya telah menandatangani kontrak sebagai pemain tetap Terengganu FC sehingga musim 2026-2027.

Akhyar menjadi pemain tetapi Terengganu FC sejak Januari lalu selepas menyertai skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung secara  pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum bermula Liga Malaysia musim 2024-2025.

Terdahulu, DPMM FC telah mengesahkan mengikat khidmat pertahanan tempatan berusia 28 tahun, Fairuz Zakaria.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd