Ranking BWF: Kunlavut Muncul Perseorangan Thailand Pertama Huni Posisi No.1 Dunia

June 3, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 dan juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, Kunlavut Vitidsarn mencipta sejarah tersendiri arena badminton negaranya apabila muncul sebagai perseorangan lelaki Thailand yang pertama menduduki tangga No.1 dalam Ranking Dunia.

Pemain berusia 24 tahun menduduki posisi berkenaan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada hari ini. Kemaskini itu menyaksikan Vitidsarn, mengumpul 97,179 mata, merampas posisi tersebut daripada pemain China, Shi Yu Qi.

Kenaikan itu tercipta selepas Vitidsarn menghuni tangga kedua selama tujuh minggu berturut-turut.

Antara yang menyumbang kepada peningkatan ke posisi No.1 dunia berkenaan adalah kejayaannya merangkul kejuaraan Terbuka Singapura 2025 pada Ahad lalu – yang memberikan tambahan 11,000 mata.

Pada masa yang sama, Yu Qi pula mencatatkan penurunan pungutan matanya berikutan kehilangan sumbangan 11,000 mata daripada saingan Terbuka Singapura pada tahun lalu dimana dia muncul juara. Manakala, pungutan mata daripada saingan Terbuka Singapura pada minggu lalu pula tidak tergolong dalam kelompok sepuluh kejohanan tertinggi berikutan tumpas di pusingan 16.

Sementara itu, kedudukan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, yang sedang berehat berikutan ditimpa kecederaan semakin menurun – kini di kedudukan ke-15 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd