Dion Cools Sambung Karier Bola Sepak Bersama Cerezo Osaka

June 4, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertahanan berdarah kacukan Belgium-Malaysia, Dion-Johan Cools kini menyambung karier bola sepaknya ke negara matahari terbit. Ini selepas kelab yang beraksi dalam kancah liga J1 iaitu Cerezo Osaka mengumumkan kehadirannya secara rasmi, sebentar tadi.

Dimaklumkan, Cools yang mempunyai nilai pasaran sebanyak 1 juta euro atau bersamaan sekitar RM4.8 juta diikat secara tetap oleh Cerezo Osaka. Penyertaan itu diumumkan selepas tamatnya kempen Buriram United, bekas kelab Cools, dalam saingan bola sepak Thailand musim 2024-2025. 

“Kami dengan bangganya mengumumkan Dion Cools akan menyertai pasukan menerusi perpindahan tetap daripada Buriram United FC (Thailand). Dia telah dipilih untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia bagi Kelayakan Piala Asia 2027.”

“Dia dipanggil bermula 5hb Jun dan akan menyertai pasukan selepas berakhirnya tugasan skuad kebangsaan,” kata pihak Cerezo Osaka.

Bagaimanapun, Cerezo tidak memberikan sebarang perincian mengenai tempoh kontrak yang diikat oleh Cools atau gaji dan sebagainya.

Sebagai rekod, ini merupakan kelab ketujuh disertai oleh Cools sejak bergelar pemain bola sepak profesional peringkat senior selepas beraksi bersama OH Leuven, Club Brugge, FC Midtjylland, SV Zulte Waregem, FK Jablonec dan Buriram United.

Pada masa yang sama, pengumuman oleh Cerezo Osaka ini turut mencipta sejarah dimana Cools menjadi pemain skuad kebangsaan pertama yang akan beraksi di liga J1 – salah satu liga bola sepak terulung di asia.

Featured Image: AFC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd