Terbuka Indonesia: Tang Jie-Ee Wei Bertemu Beregu No.2 Denmark Di Pusingan 16

June 4, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan membuat perhitungan dengan Mads Vestergaard dan Christine Busch, beregu campuran No.2 Denmark, untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Indonesia 2025.

Pertarungan itu tercetus susulan kedua-duanya melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan 32.

Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan berhasil menumbangkan gandingan India yang menduduki ranking 17 dunia, Dhruv Kapila dan Tanisha Crastro menerusi skor 21-11, 16-21 dan 21-14.  

Sementara itu, Vestergaard-Busch yang menghuni ranking 23 dunia pula menumpaskan Ashith Surya dan Amrutha Pramuthesh dari India dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-9. 

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei pernah bertemu Vestergaard-Busch sebanyak dua kali setakat ini. Pertemuan itu berlangsung di Terbuka Jepun 2024 dan Terbuka Perancis 2023 dimana kedua-duanya berhasil dimenangi oleh Tang Jie-Ee Wei secara “straight set”.

Untuk makluman, pada tahun lalu, kempen Tang Jie-Ee Wei dalam Terbuka Indonesia berakhir seawal pusingan 32 berikutan tewas di tangan beregu Republik Korea, Seo Seung Jae dan Chae Yu Jung.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd