Sivasangari Singkir Pilihan Ketujuh, Jejak Suku Akhir Terbuka British 2025

June 4, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perseorangan skuasy wanita handalan negara, Sivasangari Subramaniam melakar pencapaian baharu dalam kariernya apabila mara buat julung kalinya ke peringkat suku akhir dalam Terbuka British yang berlangsung dari 27hb Mei hingga 8hb Jun 2025.

Lebih manis, pemain berusia 26 tahun berkenaan mencetak kemaraan tersebut dengan menyingkirkan pilihan ketujuh kejohanan dari Jepun, Satomi Watanabe menerusi skor 11-9, 11-9, 4-11 dan 11-4 dalam masa 45 minit pada pusingan ketiga.

Keputusan itu menjadikan Sivasangari melebarkan rekod enam kemenangan berturut-turut ke atas Satomi sejak pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pemain di Malaysia pada tahun 2016.

Kemenangan itu membawa Sivasangari yang kini menghuni ranking kesembilan dunia bertemu pemain dari Mesir yang berada di tangga kelima dunia, Amina Orfi untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Dijangka ianya menjadi pertembungan yang sengit buat Sivasangari. Berdasarkan rekod, Sivasangari pernah bertembung Amina sebanyak empat kali setakat ini dan hanya satu pertarungan sahaja berhasil dimenanginya.

Pertemuan melibatkan Sivasangari dan Amina dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 pagi (waktu Malaysia), Jumaat.

Featured Image: PSA Squash Tour  

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd