Terbuka Indonesia: Soon Huat-Shevon, Dechapol-Supissara Bertembung Lagi
Hafiz Omar

Pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan gandingan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran akan berentap sesama sendiri buat kali kelapan di kejohanan antarabangsa apabila bertembung di suku akhir Terbuka Indonesia 2025.
Pertembungan itu juga akan menjadi yang keenam bagi tahun ini selepas bertarung di Terbuka Malaysia, Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England, Terbuka Swiss, Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Singapura pada minggu lalu.
Pertarungan itu terhasil berikutan Soon Huat-Shevon serta Dechapol-Supissara mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing pada pusingan 16, sebentar tadi.
Soon Huat-Shevon yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan mara selepas menundukkan gandingan tuan rumah, Amri Syahnawi dan Nita Violina Marwah yang berusia 26 dan 24 tahun masing-masing menerusi skor 21-12 dan 21-17.
KAPAL API Indonesia Open 2025
— BWFScore (@BWFScore) June 5, 2025
XD – R16
🇹🇭Dechapol PUAVARANUKROH🏅
21 21 🇹🇭Supissara PAEWSAMPRAN🏅
🇮🇳Sathish Kumar KARUNAKARAN
7 12 🇮🇳Aadya VARIYATH
🕚 in 25 minutes
Manakala Dechapol-Supissara, pilihan keenam kejohanan, mara berikutan menumpaskan beregu India, Satnish Kumar Karunakaran dan Aasya Variyath secara “straight set” menerusi skor 21-7 dan 21-12.
Pertembungan melibatkan Soon Huat-Shevon dan Dechapol-Supissara menarik untuk disaksikan memandangkan kedua-duanya boleh dilabelkan sebagai sama kuat. Berdasarkan kepada rekod pertemuan, Dechapol-Supissara hanya mendahului dengan empat kemenangan berbanding tiga yang berpihak kepada Soon Huat-Shevon.
Pendahuluan oleh Dechapol-Supissara itu dicatatkan ketika memenangi pertemuan ke atas Soon Huat-Shevon pada minggu lalu pada peringkat suku akhir Terbuka Singapura dengan keputusan 19-21, 22-20 dan 21-17.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia