Tze Yong Bakal Jalani Pembedahan Lutut Berikutan Kecederaan ACL
Hafiz Omar

Perseorangan badminton lelaki tanah air, Ng Tze Yong bakal menjalani pembedahan lutut sekaligus memaksanya kembali berehat panjang daripada beraksi di kejohanan antarabangsa.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini.
Imbasan perubatan mengesahkan pemain berusia 25 tahun berkenaan mengalami kecederaan atau lebih tepatnya koyak pada anterior cruciate ligament (ACL).
Ianya menimpa Tze Yong ketika turun beraksi menentang Ng Ka Long Angus pada pusingan 32 Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, dua minggu lalu.
Pada saat ini, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen memaklumkan Tze Yong sedang menjalani sesi prapemulihan bagi menguatkan otot di sekitar lutut sebelum menjalani pembedahan yang dijadualkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Tze Yong sendiri mengakui sukar untuk menerima situasi ini lebih-lebih lagi telah berusaha keras untuk kembali beraksi setelah berehat panjang ekoran kecederaan tulang belakang.
“Saya kekal positif, mengikut pelan prapemulihan, dan saya akan fokus sepenuhnya untuk kembali dengan lebih kuat,” katanya.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia