Uzbekistan, Jordan Cipta Sejarah Layak Ke Piala Dunia FIFA 2026
Hafiz Omar

Pasukan dari asia tengah, Uzbekistan dan timur tengah, Jordan mencipta sejarah melayakkan diri ke temasya terulung, Piala Dunia FIFA buat julung kalinya selepas menyudahkan aksi kesembilan pada pusingan ketiga kelayakan, awal pagi tadi.
Kemaraan kedua-dua pasukan ini juga turut dibantu perubahan membabitkan penyertaan pasukan dimana ianya diperluaskan daripada 32 kepada 48 pasukan bermula edisi yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun 2026 kelak.
Perluasan itu menyaksikan pasukan dari benua asia diberikan kuota sebanyak 8+1 berbanding kuota sebelumnya, 4+1 sahaja.
Uzbekistan, penghuni tangga 57 dunia melayakkan diri ke Piala Dunia selepas berjaya mengikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa jaringan – membolehkan mereka muncul naib juara Kumpulan A dengan pungutan 18 mata biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan.
Sementara itu, Jordan, muncul naib juara Kumpulan B dengan kutipan 16 mata, diperkuatkan dengan kehadiran Mohammad Abualnadi dan Noor Al Rawabdeh dari Selangor FC mengesahkan tempat ke Piala Dunia selepas menumpaskan Oman dengan keputusan 3-0.
Pada masa yang sama, pendahulu Kumpulan B, Republik Korea, turut layak ke saingan Piala Dunia buat kali kesebelas, menumpaskan Iraq – pencabar terdekat Jordan bagi merebut posisi naib juara Kumpulan B – dengan keputusan 2-0.
Ketiga-tiga pasukan ini menjadi pasukan kelapan, kesembilan dan kesepuluh masing-masing melayakkan diri ke saingan Piala Dunia FIFA 2026 selepas Amerika Syarikat, Kanada, Mexico (selaku hos), Argentina, Jepun, Iran dan New Zealand.
Featured Image: AFC Asian Cup