Skuad Wajah Baharu Selangor FC Uji Kekuatan Asia Warriors FC

June 10, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad Selangor FC yang berwajah baharu akan turun menguji barisan legenda-legenda bola sepak asia yang diketuai oleh bekas kapten skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda dalam satu perlawanan persahabatan pramusim yang akan berlangsung sekitar penghujung Julai nanti.

Pasukan tersebut baru sahaja ditubuhkan oleh Honda bersama-sama legenda Filipina, Anton Del Rosario baru-baru ini bagi mengumpulkan pemain-pemain bola sepak asia yang telah bersara untuk terus bermain dalam perlawanan-perlawanan istimewa seperti menentang skuad berjulukan Gergasi Merah ini.

Selain dua pemain tersebut, Asia Warriors FC turut menampilkan bekas pemain skuad antarabangsa Singapura yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT), Baihakki Khaizan serta bekas pemain Malaysia, Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan.

Bercakap mengenai skuad Selangor FC yang berwajah baharu, ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi memaklumkan pihaknya sedang giat memburu beberapa pemain import serta tempatan bagi menghadapi saingan musim 2025-2026.

Kesemua mereka dijangka akan menyertai dan kembali bersama pasukan awal Julai kelak sebelum diuji dalam aksi menentang Asia Warriors FC. Selain berentap dengan barisan pemain legenda ini, Katsuhito turut mengesahkan pasukannya akan terbang ke Thailand untuk menjalani kem latihan pramusim.

Setakat ini, beberapa pemain sah tidak akan bersama Selangor FC bagi musim hadapan seperti Ronnie Fernandez, Nikola Jambor dan Ali Olwan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkongsikan pada hari perlawanan itu nanti akan diadakan sesi pengenalan skuad Gergasi Merah bagi musim 2025-2026 selain penjualan barangan cenderahati dan pengaktifan jenama bagi rakan rasminya.

Untuk makluman, aksi Selangor FC menentang Asia Warriors FC ini dijadualkan berlangsung pada 26hb Julai (Sabtu) bertempat di gelanggang keramatnya, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd