Peter Cklamovski Mahu Uji Harimau Malaya Dengan Lawan Yang Sukar Pada September
Hafiz Omar

Aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 akan berehat seketika pada jendela perlawanan antarabangsa September kelak sebelum bersambung semula pada Oktober 2025.
Berikutan itu, ketua jurulatih skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu menggunakan tempoh itu, 1hb hingga 9hb September, untuk menguji anak-anak buahnya dengan lawan yang sukar.
Difahamkan perancangan bagi September itu telah diatur dengan sebaiknya namun jurulatih dari Australia yang berusia 46 tahun berkenaan mengunci mulut mengenai sebarang perincian khususnya pasukan yang akan ditentang oleh Harimau Malaya
“Kami teruja menantikan bulan september, jelas sekali tiada (perlawanan) Kelayakan Piala Asia (2027), kami akan gunakannya sebagai jendela untuk mencabar diri sendiri, menyediakan permainan untuk perlawanan yang sukar,”

“Apa yang kami akan lakukan bukan masanya untuk saya kongsikan lagi, namun ianya telah disahkan, semua orang akan teruja kerana ianya merupakan cabaran yang sukar, menguji kita sebagai sebuah pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, pada Selasa.
Jelas Cklamovski lagi, ujian itu dirancang buat anak-anak buahnya sebagai persiapan untuk menentang Laos di tempat lawan dan sendiri pada 9hb dan 14hb Oktober masing-masing – aksi ketiga dan keempat peringkat Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027.
Laos, menghuni ranking 190 dunia, kini menghuni tangga ketiga Kumpulan F selepas berhasil menumpaskan Nepal 2-1 di lamannya sendiri pada Selasa.
Untuk makluman, ketika jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada September tahun lalu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan saingan Pesta Bola Merdeka edisi ke-43 dengan Filipina, Lubnan dan Tajikistan sebagai pasukan jemputan.
Featured Image: Malaysia NT