Kuching City FC Ikat Khidmat Penjaga Gol Kebangsaan

June 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang menamatkan kempen Liga Super 2024-2025 bertindak memperluaskan lagi pilihan penjaga gawangnya dengan mengikat khidmat penjaga gol skuad kebangsaan, Haziq Nadzli.

Kedatangan pemain berusia 27 tahun itu selaku pemain baharunya untuk mengharungi Liga Malaysia 2025-2026 dikongsikan oleh Kuching City FC menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin.

“Selamat datang Haziq Nadzli ke Kuching City FC!”

“Penjaga gol berpengalaman ini bersedia membuka lembaran baharu bersama Kuching City FC.”

“Dengan ketenangan dan ketangkasan di gawang, kehadiran Haziq bakal memperkukuh benteng terakhir pasukan.” tulis perkongsian oleh skuad berjulukan The Cats itu.

Untuk makluman, Haziq menyertai Kucing City FC selepas semusim beraksi bersama Perak FC – dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bersama skuad berjulukan The Bos Gaurus, Haziq berhasil tampil sebanyak 19 kali dan berjaya memastikan gawangnya tidak dibocori oleh pihak lawan dalam enam perlawanan.

Sebagai rekod, ini merupakan kelab keempat disertai oleh Haziq dalam karier bola sepak seniornya selepas bermula dengan PDRM FA diikuti dengan JDT dan Perak FC.

Featured Image: Kuching City FC 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd