Kelab Liga A1 Semi-Pro Berjaya Miliki Padang Latihan Sendiri

June 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Naib juara Liga A2 musim lalu, Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable Kelantan (Kelantan WTS FC) melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya memiliki padang latihannya yang tersendiri.

Perkembangan itu menyaksikan padang latihan tersebut menjadi venue bagi sesi latihan rasminya khususnya menjelang bermulanya kempen Liga A1 Semi-Pro yang akan bermula penghujung Julai nanti.

Menurut perkongsian oleh pihak kelab, padang latihan terbabit terletak di bawah Jambatan Tendong, Pasir Mas – merupakan kawasan setempat bagi kelab tersebut – dilabelkan mereka sebagai strategik selain tenang dan sesuai untuk sesi latihan intensif pasukan. 

“Ini simbol kesungguhan kami membina pasukan yang lebih mantap dan bersedia bersaing dalam saingan Liga A1 2025/2026.” tulis perkongsian oleh skuad berjulukan The Red Fighter bimbingan Che Saupi Ibrahim.

Pemilikan padang itu bukan sahaja memberikan persekitaran yang kondusif buat para pemain dan barisan kejurulatihan tetapi turut menjadi aset buat kelab yang ditubuhkan pada tahun 2022 itu.

Kelantan WTS FC memaklumkan padang itu turut ditawarkan untuk disewa oleh mana-mana individu ataupun sebarang organisasi untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan, sesi latihan atau aktiviti sukan.

Ini pastinya memberikan pendapatan tambahan buat Kelantan WTS FC sekaligus dapat membantu kepada kelestarian kewangan kelab bola sepak.

Pada masa yang, Kelantan WTS FC turut memaklumkan mereka akan menggunakan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebagai gelanggang rasmi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro kelak.

Pada musim lalu, The Red Fighters menggunakan Stadium Mini Daerah Pasir Mas ketika beraksi dalam kancah Liga A2 Piala Al-Ikhsan.

Featured Image: Wan Tendong Stable FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd